X
Selasa, 25 Oktober 2016 | 9:33am

Imigresen tahan 192 PATI

KUALA BERANG: Seramai 192 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini dan Kemaman, semalam.

Seramai 327 pekerja asing diperiksa dalam operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 7 malam semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Terengganu, Mohd Muda berkata, PATI terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen sah, tinggal melebihi tempoh dan melanggar syarat pas lawatan.

"Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 6(1) (c), Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Operasi pertama dilakukan di tapak pembinaan di Kuala Berang kira-kira jam 9 pagi dan menahan 35 PATI.

"Operasi kedua diteruskan di sebuah kilang memproses bahan kimia di Kemaman dan menahan 157 PATI warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia serta Jepun berumur antara 18 hingga 62 tahun," katanya.

Mohd berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan 62 pegawai dan anggota JIM dari Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dibantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Berita Harian X