Ahad, 23 Oktober 2016 | 3:30pm

Sofa terpanjang daripada jeans terpakai singgah di Terengganu

PENGUNJUNG pasar raya besar Mydin Gong Badak berpeluang menyaksikan keunikan sofa terpanjang dihasilkan daripada jeans terpakai bermula hari ini hingga Sabtu.
PENGUNJUNG pasar raya besar Mydin Gong Badak berpeluang menyaksikan keunikan sofa terpanjang dihasilkan daripada jeans terpakai bermula hari ini hingga Sabtu.

KUALA NERUS: Pengunjung pasar raya besar Mydin Gong Badak, di sini, berpeluang menyaksikan keunikan sofa terpanjang dihasilkan daripada seluar jeans terpakai bermula hari ini hingga Sabtu.

Sofa yang tersenarai dalam Malaysia Book Of Records berukuran 52.5 meter itu dihasilkan 200 peserta dari Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) bersama Pusat Latihan Kraftangan Epal (EPAL) dan banduan di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.

Pengarah Pemasaran EPAL, Eric C H Chua, berkata sofa yang disiapkan dalam tempoh enam bulan itu mampu memuatkan 130 hingga 140 orang dewasa, dihasilkan daripada sumbangan seluar jeans terpakai oleh orang ramai.

"Ia dihasilkan dengan teknik jahitan cantuman. Buat masa ini, kami sedang giat melatih ahli untuk menghasilkan pula perabot menggunakan bahan kitar semula, contohnya meja kopi," katanya yang ditemui di pameran itu.

Katanya, pameran berkenaan juga diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi bahan terpakai yang boleh menyumbang pendapatan, sekali gus dapat meningkatkan kualiti alam sekitar demi kehidupan yang lebih baik.

Eric berkata, buat masa ini pihaknya menganjurkan sesi jelajah bagi mempamerkan produk daripada barangan terbuang di seluruh Malaysia bermula di Kuala Lumpur, Pahang dan kini di sini.

"PSJK dan EPAL juga mempamerkan khemah berkonsepkan batik Malaysia, dihiasi menggunakan 100 produk berasaskan batik," katanya.

Berita Harian X