Rabu, 19 Oktober 2016 | 1:35pm

62 pelajar SMKASAM cirit-birit

PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. - Foto Aswadi Alias
PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Seramai 62 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SMKASAM) dikejarkan ke hospital pagi tadi, selepas mengalami cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu membabitkan seramai 26 pelajar lelaki dan 36 perempuan.

Katanya, pihaknya difahamkan punca keracunan makanan itu dipercayai daripada sandwich telur yang dimakan di kantin asrama sekolah malam tadi.

"Pelajar dikatakan mengadu sakit perut pagi tadi dan mengalami cirit-birit. Pihak sekolah kemudian membawa semua pelajar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapatkan rawatan selanjutnya kira-kira jam 9 pagi tadi," katanya.

Shafruddin berkata, pelajar dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan kembali ke asrama sekolah pada jam 11.30 pagi ini.

Berita Harian X