Selasa, 11 Oktober 2016 | 2:56pm

Rakyat Pahang diajak amal 3 elemen penting sempena TMP 2017

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin (tengah) bergambar bersama agensi pelancongan Negeri pada majlis perasmian Kursus Malaysia Welcome Worlds 'We Are The Host' sempena Kempen Tahun Melawat Pahang 2017. - Foto Farizul Hafiz Awang
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin (tengah) bergambar bersama agensi pelancongan Negeri pada majlis perasmian Kursus Malaysia Welcome Worlds 'We Are The Host' sempena Kempen Tahun Melawat Pahang 2017. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Masyarakat di negeri ini disaran mengamalkan nilai murni seperti menjaga kebersihan, sopan santun dan keselamatan bagi mempromosi Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata, tiga elemen itu penting diamalkan setiap individu di negeri ini yang bertindak sebagai barisan hadapan berurusan dengan pelancong.

"Peranan untuk memastikan kejayaan TMP 2017 tidak hanya bergantung kepada penggiat industri pelancongan, tetapi juga agensi kerajaan seperti kastam, imigresen, polis dan masyarakat. Impak dan faedah daripada kunjungan pelancong akan dinikmati oleh semua pihak.

"Dari segi statistik, Pahang berada di tangga kedua selepas Wilayah Persekutuan dalam jumlah kehadiran pelancong. Jumlah bilik yang boleh disewa pula sebanyak 29,000 bilik berbanding kira-kira 32,000 bilik di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau merasmikan kursus Kita Sebagai Tuan Rumah Sempena TMP 2017 di Auditorium Kolej Widad, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang (MOTAC), Datuk Idros Yahya; Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin dan Ketua Eksekutif Kolej Widad, Prof Madya Norhisyam Ab Rahman.

Katanya, Pahang memiliki produk pelancongan dan infrastruktur baik yang mampu menarik pelancong untuk ke negeri ini.

"Penggiat industri, agensi kerajaan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu mendapat pendedahan mengenai hala tuju industri pelancongan di negeri ini agar dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada pelancong", katanya.

Berita Harian X