Isnin, 3 Oktober 2016 | 5:39pm

UniSZA dan MPN pantau, kaji susulan penularan virus zika

AHMAD Zubaidi (kanan) bersama Zulkifli (tengah) melawat pameran kesihatan pada majlis Forum Kesihatan Komuniti UniSZA di UniSZA, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
AHMAD Zubaidi (kanan) bersama Zulkifli (tengah) melawat pameran kesihatan pada majlis Forum Kesihatan Komuniti UniSZA di UniSZA, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama Majlis Profesor Negara (MPN) melakukan pemantauan dan kajian susulan secara berterusan terhadap penularan virus zika di seluruh dunia.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif berkata, usaha itu bertujuan memastikan pihaknya mendapat maklumat terawal mengenai penularan virus itu di negara ini.

"Virus zika sudah ada di Malaysia dan perkara ini membimbangkan seluruh rakyat. Jadi, universiti melalui MPN sentiasa melihat perkembangan virus itu di negara ini melalui pemantauan dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan kesihatan di setiap negeri.

"Jika di Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mempunyai makmal yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan kuman terhadap pesakit terutama mereka yang dirawat kerana demam.

"Melaluinya, kami memperoleh data dan maklumat mengenai penyakit ini dengan cepat," katanya kepada media selepas Forum Kesihatan Komuniti UniSZA bertajuk 'Vaksin Perlu atau Tidak' di sini, hari ini.

Turut hadir sebagai panel jemputan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al Bakri; Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli dan Timbalan Dekan Akademik dan Siswazah Fakulti Perubatan UniSZA, Prof Dr Harmy Mohamed Yusoff.

Ahmad Zubaidi yang juga Timbalan Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan MPN berkata, buat masa ini langkah pencegahan dan kawalan terhadap virus zika adalah sama seperti virus denggi berikutan kedua-dua penyakit itu dibawa oleh nyamuk Aedes.

"Universiti melalui MPN melihat kepada simptom dan cara penularan penyakit berkenaan supaya pihak kami lebih ke depan dalam memberi cadangan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Berita Harian X