Isnin, 3 Oktober 2016 | 5:27pm

Tahap kesedaran rendah terhadap kanser payu dara

MAFAUZY (tiga kiri) merasmikan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MAFAUZY (tiga kiri) merasmikan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Tahap kesedaran wanita terhadap sel kanser payu dara masih rendah menyebabkan kebanyakan penghidap yang merujuk ke hospital sudah berada di tahap kritikal dan gagal diselamatkan.

Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, berkata kesedaran mendapatkan ujian pengesanan awal terhadap sel pembunuh senyap itu wajar dibuat seawal tahap satu lagi dan perlu dijalankan terutama di kalangan mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit itu.

"Kita boleh mengesan penyakit itu berdasarkan genetik dan sejarah ahli keluarga yang menghidap kanser dan menerusi faktor itu mereka boleh dikesan sama ada berisiko tinggi atau tidak untuk mewarisi penyakit itu.

"Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ada rawatan lengkap termasuk beberapa pakar Onkologi sama ada kemoterapi, radioterapi dan apa-apa rawatan yang berkaitan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Kuliah 4, Pusat Pengajian Sains Perubatan, di sini, hari ini.

Dr Mafauzy berkata, kaedah rawatan pada masa kini sudah menggunakan peralatan dan mesin canggih, jangka hayat pesakit boleh dipanjangkan contohnya 80 hingga 90 peratus untuk pesakit kanser tahap dua dalam tempoh selepas lima tahun diagnosa, malah masih boleh diselamatkan.

Bagi menggalakkan orang ramai menjalankan pengesanan awal terhadap kanser payudara, HUSM menawarkan kaedah 'Walk-In' di Pusat Sumber Payudara (PS1) yang disediakan di sana.

Perkhidmatan yang disediakan sejak lima tahun lalu itu memudahkan pelanggan mendapatkan ujian pengesanan awal malah lengkap dengan khidmat pakar berkaitan iaitu Pakar Radiologi dan Patologi termasuk pakar bedah jika pelanggan positif menghidap kanser payudara.

Sementara itu, HUSM juga mampu membentuk semula (rekonstruktif) payu dara bagi penghidap yang kehilangan aset wanita terbabit dan hospital itu adalah yang kedua di negara ini selain Hospital Kuala Lumpur yang menawarkan rawatan itu.

Rawatan yang bermula sejak 1997 itu berjaya memberi harapan baharu kepada 20 hingga 30 pesakit setiap tahun yang kurang keyakinan dan merasa rendah diri selepas kehilangan mahkota wanita itu.

Rawatan yang diketuai Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif HUSM, Prof Madya Wan Azman Wan Sulaiman itu dibuat menggunakan lemak yang diambil dari lapisan bawah perut dan dibentuk seperti payudara asal.

Berita Harian X