Sabtu, 24 September 2016 | 10:01pm

Karnival Farmasi di Bera esok

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan menganjurkan Karnival Farmasi Peringkat negeri di Kompleks Rakan Muda Bera, dekat Bera, esok.

Karnival anjuran bersama Persatuan Farmasi Malaysia itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya senamrobik, pertandingan futsal dan forum berkaitan isu semasa.

Timbalan Pengarah Negeri (Farmasi), Bahagian Kesihatan Farmasi JKNP, Halimi Mat Piah berkata, karnival itu bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman.

"Karnival ini adalah julung kali diadakan dan kita berharap ia mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

"Pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan secara sihat dan menyertai pertandingan memasak sempena penganjuran karnival berkenaan.

"Antara aktiviti disediakan kepada pengunjung ialah senamrobik, pertandingan futsal, acara larian '5km Pharmacy Fun Run' dan Amazing Race untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, forum mengenai vaksin bagi membincangkan penggunaan vaksin dari pandangan agama dan sains perubatan juga diadakan pada karnival itu.

Katanya, pameran dan acara cabutan bertuah juga turut diadakan sepanjang karnival sehari itu berlangsung.

Berita Harian X