Ahad, 18 September 2016 | 3:05pm

Lelaki OKU maut dirempuh kereta api

WAN Zain maut selepas dirempuh kereta api di Kampung Berangan di Tumpat, pagi tadi. - Foto Mohamad Zulhairie Manzaidi
WAN Zain maut selepas dirempuh kereta api di Kampung Berangan di Tumpat, pagi tadi. - Foto Mohamad Zulhairie Manzaidi

TUMPAT: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas dirempuh kereta api di Kampung Berangan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, Wan Zain Wan Abdul Rahman, 55, yang mengalami masalah pendengaran dan bisu, dikatakan diseret kira-kira 30 meter oleh kereta api itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

Pemandu kereta api terbabit dikatakan sudah membunyikan hon namun mangsa terus menyeberang landasan kerana tidak dapat mendengar.

Adik tiri mangsa, Che Rahmah Abdullah, 40, berkata abangnya melintasi landasan untuk ke kedai kopi di seberang.

"Arwah tinggal dengan saya di Kampung Belukar Berangan dekat sini tetapi malam tadi kami tidur di rumah kakak di Kampung Berangan.

"Setiap kali tidur di rumah kakak, arwah akan ke kedai kopi di seberang landasan walaupun saya kerap melarang kerana bimbangkan keselamatannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Zaid Ibrahim, ketika dihubungi, berkata tren terbabit yang sepatutnya tiba di Stesen Tumpat pada jam 9.45 pagi tertangguh kira-kira sejam berikutan kemalangan itu.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai Tren Eastern Holiday yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat terbabit dalam kemalangan itu.

"Perjalanan disambung semula pada jam 10.40 pagi," katanya.

Berita Harian X