Khamis, 25 Ogos 2016 | 10:37pm

Pahang mohon agihan cukai hasil negeri diteliti

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melancarkan Tahun Melawat Pahang 2017 di Hotel Seri Pacific. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan). Foto Asyraf Hamzah
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melancarkan Tahun Melawat Pahang 2017 di Hotel Seri Pacific. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan). Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang memohon Kerajaan Pusat mempertimbangkan cadangan agihan hasil cukai pendapatan kepada negeri berkenaan sebagai langkah menyediakan kemudahan industri pelancongan sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah cadangan berkenaan membabitkan sebahagian peruntukan hasil cukai pendapatan negeri yang dikutip Kerajaan Pusat atau sumbangan yang boleh dikongsikan dengan kerajaan negeri.

"Sudah sampai masanya kerajaan pusat meneliti perkara ini dan mengambil pendekatan menang-menang mengagihkan sebahagian hasil cukai kepada kerajaan negeri.

"Beta berharap formula pengagihan hasil cukai pendapatan boleh membantu kerajaan negeri Pahang meneruskan promosi pelancongan dan melengkapkan kemudahan destinasi pelancongan termasuk mewujudkan satu daerah satu destinasi untuk menarik sasaran, lebih 15 juta pelancong nanti," titahnya dalam ucapan merasmikan Majlis Promosi Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017), di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Tourism, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Sempena TMP2017, kira-kira empat kenderaan pacuan empat roda akan digunakan dalam siri jelajah World Travel Market (WTM London) bagi mempromosikan negeri itu ke 15 negara menerusi laluan dari Kuantan, Pahang dan berakhir di Kota London.

Tengku Abdullah bertitah, Pahang terkenal dengan khazanah alam semula jadi, hutan simpan, sungai terpanjang dan lebih 10 destinasi pantai peranginan terkemuka yang boleh dijadikan produk utama merancakkan industri pelancongan eko selain, mempromosikan sukan lasak seperti permotoran.

Berita Harian X