Rabu, 24 Ogos 2016 | 1:13pm

Keenakan sate ikan jadi pilihan ramai

PENGUSAHA satay ikan, Adnan Abd Rahman, 37 , (berdiri) membantu pekerjanya dalam proses mencucuk sate ikan. - Foto Syaherah Mustafa
PENGUSAHA satay ikan, Adnan Abd Rahman, 37 , (berdiri) membantu pekerjanya dalam proses mencucuk sate ikan. - Foto Syaherah Mustafa

RANTAU PANJANG: Sate ikan atau dikenali sebagai 'lokcing' dalam kalangan masyarakat setempat menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang enak dan dan menyelerakan.

Isi ikan yang dikisar bersama tepung kanji bukan saja menghasilkan sate ikan yang lembut tetapi rasa yang sedap dan biasanya dimakan dengan pencicah selepas dibakar atau digoreng.

Pengusaha sate ikan, Adnan Abd Rahman, 37, sudah mengusahakan perniagaannya itu selama 10 tahun dan menjadi antara pembekal sate ikan terbesar di sini.

"Saya bermula sendiri daripada bawah, banyak resipi sudah saya cuba sebelum dapat menghasilkan sate ikan yang sedap. Biasanya, pelanggan lebih gemar memilih sate yang mempunyai rasa ikan asli dan tidak gatal serta lembut bila dimakan.

"Setiap hari, sebanyak 250 kilogram ikan akan digunakan untuk memproses menjadi sate. Saya sendiri akan pastikan ikan digunakan masih segar untuk memastikan sate dihasilkan tidak mudah rosak dan memberi rasa yang sedap.

"Sekarang saya sudah memiliki 20 pekerja yang membantu saya mengusahakan sate ikan. Setiap hari kami akan menerima tempahan sama ada daripada pemborong tetap atau orang ramai yang datang beli sendiri untuk dibuat minum petang.

"Saya menjual sate ikan dengan harga RM10 untuk 100 cucuk," katanya yang turut menjual pencicah sate yang dibuat sendiri hasil resipi ibunya.

Proses menghasilkan sate ikan menggunakan ikan yang segar dan bahan berkualiti mampu menghasilkan sate yang boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu dan boleh disejukbekukan.

Adnan berkata, sate ikan miliknya juga pernah 'terbang' sehingga ke Jordan dan Mesir kerana anak tempatan yang pulang bercuti dan membelinya untuk dibawa ke sana.

"Saya berharap untuk pergi lebih jauh dan mampu membuat perniagaan sate ikan yang boleh menembusi pasaran antarabangsa. Namun, banyak lagi yang perlu diberi perhatian dalam pembuatan lokcing ini supaya dapat menghasilkan yang berkualiti," katanya.

Berita Harian X