Selasa, 16 Ogos 2016 | 2:19pm

TMP 2017: Kerajaan negeri terima cadangan

DATUK Seri Mohd Sharkar Shamsudin. - Foto Amir Irsyad Omar
DATUK Seri Mohd Sharkar Shamsudin. - Foto Amir Irsyad Omar

KUANTAN: Kerajaan Pahang terbuka dalam menerima cadangan bagi menambah baik produk pelancongan sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ia termasuk kritikan membina bagi memastikan destinasi pelancongan yang ada di negeri ini mendapat perhatian pelancong. 

"Apabila segala-galanya diberikan perhatian, Pahang akan menarik ramai pelancong bukan saja luar negara, malah tempatan untuk melihat keindahan produk pelancongan yang ada di negeri ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini juga diminta mempertingkatkan penguatkuasaan terutama dari segi kebersihan menjelang TMP 2017.  Katanya, langkah utama perlu diberi penekanan adalah kebersihan tandas awam yang dikendalikan PBT.

"Selain tandas awam lokasi pelancongan turut diberi penekanan dalam usaha memberikan kemudahan terbaik kepada pelancong apabila berkunjung ke kawasan pelancongan.

"Bagi pihak kerajaan, kita sememangnya mahu pelancong yang datang ke Pahang berasa gembira dan menetap lebih lama apabila memilih destinasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan pantai serta flora dan fauna," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, mengingatkan semua pihak supaya menjaga dan meningkatkan aspek kebersihan sempena sambutan TMP 2017.

Katanya, kerjasama itu membabitkan semua pihak iaitu pengusaha pelancongan, pemandu pelancong dan penduduk bagi meningkatkan imej negeri ini. 

"Sektor pelancongan tidak lagi menjadi subsektor, sebaliknya ia perlu menjadi sektor persendirian berikutan perkembangan terkini menyaksikan ia memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X