Isnin, 15 Ogos 2016 | 2:22pm

842 kompaun denggi dikeluarkan di Pahang

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengeluarkan 842 kompaun dianggar bernilai RM421,000 dan 396 notis mengikut Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 kepada penduduk di negeri ini sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Zainal Ariffin Omar, berkata kompaun dikeluarkan sebagai amaran kepada pemilik premis dan penduduk supaya menjaga premis atau kediaman daripada menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

"Kita mahu memastikan tiada kes denggi membawa maut di Pahang, justeru kita minta semua pihak sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

"Pastikan bekas berisiko menjadi tempat pembiakan seperti plastik, tin, botol kosong, tayar dan polisterina tidak dibuang merata-rata kerana cuaca semasa tidak menentu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Zainal Ariffin berkata, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi dengan melakukan semburan kabus di 641,778 premis, selain membuat pemeriksaan di 262,654 premis di seluruh negeri.

Katanya, sebanyak 111,891 premis diberikan ubat abate bagi memusnahkan jentik-jentik di premis masing-masing.

Berita Harian X