Khamis, 11 Ogos 2016 | 11:09am

Penuhi penanda aras bagi menjayakan TMP17

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

KUANTAN: Semua pemain industri dalam sektor pelancongan di Pahang perlu memenuhi penanda aras ditetapkan kerajaan negeri bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP17).

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pelbagai promosi dilakukan kerajaan negeri sejak tahun lalu perlu dijadikan panduan kepada pemain industri pada masa akan datang.

"Kita sudah lakukan pelbagai pendekatan bagi memastikan kejayaan TMP17... semua promosi dan usaha dilakukan di dalam dan luar negara ini perlu dijadikan rujukan pemain industri pelancongan.

"Kali terakhir Pahang melancarkan kempen seumpama ini ialah 22 tahun lalu... jadi, semua pihak sudah pasti teruja bagi memastikan kejayaan TMP17 tahun depan.

"Jika Pahang ingin menganjurkan kempen Tahun Melawat Pahang pada masa akan datang, kita kena pastikan ia adalah lebih bagus daripada promosi dan persiapan dilakukan untuk TMP17," katanya ketika dihubungi di sini, pagi tadi.

Mohd Sharkar turut meminta kerjasama pemilik hotel dan pengusaha inap desa tidak terlalu mementingkan keuntungan namun memberi perhatian kepada meningkatkan kepuasan pelanggan, terutamanya pelancong.

Katanya, persiapan untuk memastikan kelancaran TMP17 berada di peringkat akhir dan setakat ini, semua pihak terbabit memberikan kerjasama dan komited yang sangat memuaskan.

Berita Harian X