Isnin, 1 Ogos 2016 | 12:42pm

Sukan golf antara tarikan Tahun Melawat Pahang 2017

Oleh Nik Sukry Ramli

niksukry@bh.com.my

KUANTAN: Penganjuran kejohanan golf mampu menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 dengan adanya lebih 30 lapangan golf di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata Pahang menerima kehadiran pelancong yang ramai dari Korea, Jepun dan Taiwan yang amat meminati sukan berkenaan.

Katanya, destinasi pelancongan seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser, Bukit Tinggi, Genting Highlands dan Lanjut adalah antara lapangan golf yang menjadi tumpuan pelancong.

"Melihat kepada minat pelancong dalam sukan golf, tidak hairanlah acara sukan ini menjadi produk pelancongan dan dipromosikan oleh kerajaan termasuk Kerajaan Pahang.

"Lapangan golf di Cameron Highlands antara yang menjadi pilihan pemain golf dari Jepun dan Korea untuk tinggal lebih lama di sini terutama bagi pesara atau warga emas. Mereka datang bermain golf dan tinggal tiga bulan setiap kali berkunjung ke negara kita.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada kementerian yang membelanjakan hampir RM20 juta bagi menaik taraf rumah kelab dan padang golf Cameron Highlands," katanya pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Golf Promosi TMP 2017 di Hotel MS Garden, di sini, malam tadi.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Mohd Sharkar berkata, keadaan geografi negeri ini yang berbukit, tanah tinggi dan pantai pastinya dapat memenuhi cita rasa pemain golf yang berkunjung ke Pahang.

Beliau berkata, pemain sentiasa mahu mencari kelainan di lapangan golf yang ada seperti lapangan berbukit, halangan air, angin dan jenis rumput.

"Semua ini ada di Pahang dengan lebih 30 lapangan golf dimiliki kerajaan mahupun swasta, malah sempena TMP 2-17, kita mengalu-alukan kerjasama menganjurkan acara World Amature Inter Team Golf Challenge (Waitgc) ke Kuantan, Pekan dan Maran yang mempunyai lapangan golf menarik untuk ditawarkan," katanya.

Berita Harian X