Isnin, 20 Jun 2016 | 3:41pm

Peserta tunggal lelaki bangga diiktiraf Guinness World Records

KOTA BHARU: Menjadi hanya seorang peserta lelaki daripada 73 peserta di negeri ini, tidak mematahkan semangat Muhammad Faiz Hafifie Ismail, 23, untuk menyertai Program Menjahit Beramai-Ramai Secara Serentak.

Penyertaan itu membolehkan Muhammad Faiz dan 72 peserta lain mendapat pengiktirafan Guinness World Records, ketika ia diadakan di Putrajaya pada April lalu.

"Saya berbangga kerana dapat menerima sijil yang diiktiraf di peringkat dunia dan ternyata minat saya dalam bidang jahitan tidak sia-sia.

"Saya mula menyedari kemahiran yang ada sewaktu di bangku sekolah lagi. Ketika itu saya sudah membaiki seluar jeans sendiri dan kadangkala ada jiran terdekat mengupah saya membaiki jeans mereka," katanya ketika ditemui media selepas menerima sijil Guinness World Records di sini, hari ini.

Pada 9 April lalu, seramai 606 peserta dari empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Taiwan dan Jepun, menyertai Program Menjahit Beramai-Ramai Secara Serentak yang diadakan di Putrajaya.

Penyertaan beramai-ramai itu termasuk 73 dari Kelantan mendapat pengiktirafan Guinness World Records

Muhammad Faiz berkata, selepas tamat persekolahan dia melanjutkan pelajaran di peringkat sijil di Institusi Kemahiran Murni, Pengkalan Chepa dalam Kursus Jahitan Pakaian Wanita sebelum mengikuti kursus di Pusat Latihan Kraftangan sehingga sekarang.

"Buat masa ini, saya mengambil upah menjahit seluar jeans dan pakaian wanita memandangkan saya sudah membeli mesin jahit sendiri.

"Saya akan terus mendalami ilmu jahitan dan berhasrat membuka kedai jahit sendiri pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Wan Marzuki Wan Ismail, berkata kemahiran menjahit mampu membantu menjana pendapatan dan ekonomi keluarga.

"Kesungguhan yang ditunjukkan setiap peserta harus dipuji dan saya mengucapkan syabas kepada setiap peserta kerana mengharumkan nama negara," katanya.

Berita Harian X