Isnin, 13 Jun 2016 | 6:06pm

53 mangsa ribut di Temerloh terima bantuan

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut Ahmad Salim 68, ketika hadir di Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut di Dewan Terbukai Desa Murni Kerdau. - Foto Nazirul Roselan
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut Ahmad Salim 68, ketika hadir di Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut di Dewan Terbukai Desa Murni Kerdau. - Foto Nazirul Roselan

TEMERLOH: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempercepatkan usaha baik pulih rumah mangsa kejadian ribut di tiga kampung di sini, Sabtu lalu.

Beliau berkata, kerjasama tiga pihak iaitu ATM, jabatan kerajaan dan penduduk kampung dapat mempercepatkan usaha memperbaiki rumah mangsa sekali gus meringankan beban mereka dalam persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Saya sudah berbincang dengan semua pihak wakil rakyat dan pejabat daerah...esok pihak tentera dijangka dapat memulakan kerja membaik pulih bersama penduduk kampung menerusi program jiwa murni sekali gus lebih cepat kerja baik pulih dilaksanakan.

"Biarlah usaha baiki rumah mangsa yang rosak dapat siap sebelum Aidilfitri untuk meringankan beban mereka. Harap kerjasama ini diberkati Allah dan jika pihak polis hendak turut serta pun digalakkan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan mangsa ribut di Dewan Terbuka Desa Murni Kerdau, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam kejadian ribut pada petang Sabtu lalu, sebanyak 146 rumah, 21 premis perniagaan, sebuah masjid, dua surau dan empat bangunan kemudahan awam di Kampung Desa Murni Kerdau, Kampung Desa Murni Sanggang dan Kampung Desa Murni Songsang. Jumlah kerugian yang ditaksirkan setakat ini mencecah RM620,000.

Tengku Abdullah turut mengingatkan mangsa supaya sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian Allah sepanjang Ramadan ini.

"Ini semua kehendak Allah dan ujian buat kita semua, saya bersyukur kerana musibah ini tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa," katanya.

Berita Harian X