Isnin, 13 Jun 2016 | 5:28pm

Semua hotel tawar bufet Ramadan di Kuantan ada sijil halal

KUANTAN: Semua hotel yang menawarkan bufet Ramadan di daerah ini mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani, berkata sebanyak 25 hotel bertaraf antara tiga hingga lima bintang sudah memiliki sijil berkenaan.

"Masih ada lapan atau sembilan lagi hotel dan resort yang baharu beroperasi dan belum memiliki sijil terbabit, ini bermakna mereka yang tidak ada sijil tidak boleh menawarkan bufet Ramadan kepada pelanggan mereka.

"Kita juga mendapat kerjasama baik daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan sebelum Ramadan lagi kita sudah hantar surat kepada mereka (MPK) untuk tidak membenarkan sebarang promosi atau tawaran bufet Ramadan oleh pihak yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, pihaknya juga sentiasa mendapat kerjasama daripada agensi berkaitan bagi memudahkan tugas pemantauan terhadap hotel atau resort bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan.

Katanya, premis makanan atau hotel yang tidak memiliki sijil halal tetapi mempromosi bufet Ramadan boleh didakwa mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda hingga RM200,000. 

Berita Harian X