Isnin, 11 April 2016 | 12:54pm

5,000 warga IPT dengar syarahan Dr Zakir Naik

TOKOH pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik. - Foto Syafiq Ambak
TOKOH pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik. - Foto Syafiq Ambak

KUALA NERUS: Lebih 5,000 warga institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh Terengganu membanjiri kampus utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mendengar syarahan umum tokoh pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Syarahan di UMT yang bertajuk 'Islam Penyelesaian Kepada Kemanusiaan' itu adalah program kedua pendakwah kelahiran Mumbai, India di negeri ini sempena siri jelajahnya selama seminggu di Terengganu atas jemputan kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, UMT turut mengambil kesempatan menganjurkan Karnival 'Berkata Yang Benar' dengan pelbagai pengisian termasuk kuliah Zuhur dan Maghrib oleh penceramah dan pendakwah terkenal negara, Dr Zahazan Mohamed serta Datuk Badlishah Alauddin.

Turut diadakan karnival jualan dan pertandingan menulis tulisan Jawi dan Kaligrafi.

Dr Zakir menyampaikan kuliah selama satu jam setengah sebelum diakhiri dengan sesi soal jawab dengan hadirin.

Selepas di UMT, Dr Zakir akan menyampaikan syarahan umum di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Besut pada 12 April sebelum berakhir di Padang Astaka, Kemaman pada 14 April.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu BERNAMA, kerajaan Negeri Terengganu tidak mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membawa Dr Zakir Naik ke negeri itu.

Katanya, hanya penginapan dan makan tokoh ilmuan Islam itu dibiayai kerajaan negeri manakala perbelanjaan lain dibiayai sendiri oleh Dr Zakir menerusi Islamic Research Foundation.

"Kerajaan negeri hanya menyediakan (menanggung) penginapan dan makan minum sepanjang beliau berada di sini," katanya.

Ahmad Razif berkata, Dr Zakir sememangnya pejuang agama yang wajar dicontohi malah rakyat Terengganu bertuah kerana pendakwah terkenal itu bersetuju hadir untuk menyampaikan ceramah.

Undangan kepada Dr Zakir, 50, dibuat pada tahun lalu apabila Ahmad Razif bertemu tokoh ilmuan Islam itu di Korea Selatan ketika melakukan lawatan kerja.

Berita Harian X