Ahad, 10 April 2016 | 10:52am

2,000 warga Kuantan sertai sarapan Milo

ANTARA aktiviti sempena Program Sarapan Malaysia Bersama MILO, di Kuantan, hari ini. - Foto FB MILO
ANTARA aktiviti sempena Program Sarapan Malaysia Bersama MILO, di Kuantan, hari ini. - Foto FB MILO

KUANTAN: Lebih 2,000 warga Kuantan memenuhi pusat rekreasi Taman Gelora, di sini, seawal jam 7 pagi bagi menyertai Program Sarapan Malaysia Bersama MILO, hari ini.

Program yang julung kali diadakan di Pantai Timur itu bertujuan mendidik orang ramai kepentingan sarapan sebagai sumber tenaga untuk kekal aktif sepanjang hari.

Pengurus Jenama MILO, Venessa Lim, berkata bertemakan 'Miliki Harimu', program ini menyediakan pelbagai permainan dan aktiviti kecergasan serta senamrobik yang boleh disertai semua lapisan masyarakat.

Katanya, sambutan warga bandar ini dilihat begitu menggalakkan dan mereka turut menyertai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan memahami keperluan sarapan supaya kekal bertenaga.

"Kita juga mahu mendidik ibu bapa mengubah tabiat sarapan sekeluarga serta memahami keperluan untuk menambah tenaga. Masih ramai yang kurang menyedari fakta bahawa badan kita kehilangan 80 peratus tenaga ketika tidur. Sarapan yang berkhasiat penting untuk menggantikan kembali tenaga yang hilang," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.

Selepas Kuantan, jelajah program itu akan ke Kota Kinabalu, Sabah pada 17 April ini, diikuti Pasir Gudang, Johor (23 April), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (15 Mei), Kuching, Sarawak (22 Mei) dan Putrajaya, 29 Mei.

Berita Harian X