Selasa, 19 Januari 2016 | 11:56am

KPDNKK Pahang rampas barangan RM113,664

SHARUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan aksesori telefon bimbit tiruan dan VCD cetak rompak pada sidang media di Pejabat KPDNKK, Indera Mahkota, minggu lalu. - Foto Zulkepli Osman
SHARUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan aksesori telefon bimbit tiruan dan VCD cetak rompak pada sidang media di Pejabat KPDNKK, Indera Mahkota, minggu lalu. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang merampas pelbagai barangan bernilai RM113,664 daripada peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh kira-kira dua minggu pertama tahun ini.

Rampasan sehingga 12 Januari itu membabitkan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.  

Pengarahnya, Sharuddin Jali dalam satu kenyataan hari ini, berkata bagi kesalahan APD 2011, barangan dirampas bernilai RM91,848, manakala mengikut AKHAP 2011 pula membabitkan barangan bernilai RM13,926.

"Bagi kesalahan mengikut ATS 1972, kita rampas barangan bernilai RM7,880. Kesalahan lain yang turut dikesan membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Sewa Beli 1967, Akta Hakcipta 1987, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Sharuddin berkata, pihaknya juga mengeluarkan kompaun berjumlah RM16,800 membabitkan 74 kes dalam tempoh sama dengan 32 kes di Temerloh, 24 kes lagi di 24 kes serta masing-masing sembilan kes di Rompin dan Kuantan.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga sesuka hati bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

"Saya sudah minta semua pegawai dan anggota penguat kuasa melakukan pemantauan di lokasi seperti pasar raya besar, pasar tani dan pasar malam bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi kepada pelanggan.

"Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa peniaga yang ingin mengaut keuntungan berganda, terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina bulan depan," katanya.

Berita Harian X