Ahad, 27 Disember 2015 | 5:26pm

1,178 belia Terengganu, Kelantan dilatih PLKK

TIMBALAN Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
TIMBALAN Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

JERTIH: Seramai 1,178 belia Kelantan dan Terengganu mendapat faedah menerusi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sepanjang tahun 2015.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata menerusi pelbagai latihan kemahiran yang disediakan itu, pihak kementerian membelanjakan RM30 juta bagi melatih golongan belia di dua negeri terbabit.

"Daripada jumlah itu, 532 belia dari Kelantan dan 646 belia dari Terengganu diberi latihan kemahiran dalam bidang teknologi terkini, pembangunan sosial, profesional, fesyen, tekstil, pembuatan, mekanikal, pembinaan, kejuruteraan dan jentera berat.

"Sehingga ini, hampir 70 peratus belia terutama dari luar bandar yang terpilih mengikuti kursus kemahiran terbabit, berjaya mendapat pekerjaan sama ada di sektor swasta, kerajaan atau bekerja sendiri.

"Program melatih belia tempatan adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menyediakan tenaga kerja mahir dalam pembangunan negara," katanya selepas merasmikan penutupan Kursus Jentera Besar di Pusat Latihan Kem Jiwa Bakti Peladang Institut (IADP) Ketara, dekat sini, hari ini.

Katanya, di bawah program PLKK, bantuan diberikan kepada peserta untuk mengikuti latihan kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk perhatian berat diberikan kepada latihan kemahiran jentera berat.

Ahmad Jazlan berkata, peserta latihan jentera berat perlu menamatkan kursus tahap kemahiran asas dan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan latihan mengambil masa selama enam bulan.

Katanya, peserta kursus jentera berat dan kenderaan perdagangan turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk lesen kelas H dan E.

Beliau berkata, peserta kursus yang berjaya menamatkan latihan dalam jentera berat dan kenderaan perdagangan kini mendapat pendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan dan mereka mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja negara.

Berita Harian X