Ahad, 14 Mei 2017 | 11:54am

25,000 meriahkan Hari Sarapan Terbesar MILO

PROGRAM Hari Sarapan Terbesar MILO 2017 di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PROGRAM Hari Sarapan Terbesar MILO 2017 di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA : Seramai 25,000 peserta membanjiri Anjung Floria, Presint 4, di sini sempena program Hari Sarapan Terbesar MILO 2017, hari ini.

Putrajaya menjadi lokasi terakhir bagi program tahunan yang dianjurkan Nestle Malaysia selain beberapa lokasi di negeri terpilih antaranya, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak; Johor Bahru, Johor; Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.

Pegawai Eksekutif Perniagaan (Unit Perniagaan) MILO, Philomena Tan, berkata sambutan bagi tahun ini turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 60,000 peserta sepanjang program berkenaan berlangsung.

Katanya, melalui kempen berkenaan, MILO memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan sarapan seterusnya memberi pendedahan mengenai tenaga yang diperlukan oleh anak masing masing terutamanya yang masih bersekolah.

"Mungkin ramai ibu bapa yang sedar mengenai kepentingan sarapan kepada anak mereka namun sukar meninggalkan tabiat lama iaitu tidak mengambil sebarang makanan pada waktu pagi.

"Larian santai tiga hingga lima kilometer yang diadakan hari ini adalah simbolik kepada tenaga yang diperlukan oleh kanak kanak untuk kehidupan seharian iaitu sebanyak 1,500 kalori," katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan.

Selain larian, pelbagai aktiviti turut diadakan iaitu nasihat pemakanan oleh pakar nutrisi, senaman Zumba dan mencari harta karun.

Berita Harian X