Selasa, 2 Mei 2017 | 3:36pm

Melaka peneraju dasar data terbuka

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Melaka menjadi negeri pertama mewujudkan dasar data terbuka sebagai pemangkin ke arah pembangunan lestari berteraskan teknologi hijau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata kerajaan negeri yakin dasar itu akan merangsang dan memudahkan perancangan bandar pada masa depan.

"Selain merangsang pertumbuhan pembangunan, kita percaya dasar data terbuka negeri ini dapat merangsang pertumbuhan bandar baharu oleh sektor swasta.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada The Newton-Ungku Omar kerana inisiatif antara United Kingdom (UK) dan Malaysia melalui The British Council, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Institut Sultan Iskandar (ISI) bagi membolehkan dasar ini diterapkan di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Bandar Raya Lestari Melaka 2017 dan Pelancaran Pembangunan Lestari-Bandar Dalam Projek Malaysia 2017-2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr Tam Weng Wah; Pengarah Urusan Organisasi Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO), Philipper R Scholtes serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Berita Harian X