Sabtu, 29 April 2017 | 4:17pm

Bank Muamalat rai kanak-kanak istimewa

KUALA LUMPUR: Seramai 29 kanak-kanak Sindrom Down diraikan Bank Muamalat Malaysia Berhad, menerusi program pendidikan yang berlangsung di pusat tarikan kanak-kanak, Little Kingdom, di sini, semalam.

Wakil Bank Muamalat, Saidatul Leiza Suleiman, berkata program itu dijayakan dengan kerjasama Pusat Sindrom Down Orkids dari Petaling Jaya, bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai sindrom serta peranan kanak-kanak istimewa itu dalam masyarakat.

"Ini adalah antara usaha Bank Muamalat bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kanak-kanak seperti ini adalah manusia biasa dan mereka juga mempunyai perasaan di mana kita perlu hormati.

"Program ini juga bertujuan melatih kanak-kanak Sindrom Down, selain memberi peluang kepada mereka berimaginasi seperti kanak-kanak normal lain," katanya ketika ditemui.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Orkids, Sakinah Ramli, menyifatkan inisiatif itu adalah usaha yang baik kerana memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa memperbaiki sistem motor, kemahiran intelek serta merangsang imaginasi mereka.

"Dalam program ini kanak-kanak dididik mengikut empat kelas utama iaitu Little Alice, Little Genie House, Little Cinderella Ballroom serta Magical Castle, yang memberi penekanan dalam kemahiran intelek, sistem motor, dan imaginasi, yang penting dalam kehidupan seharian mereka," katanya.

Orkids adalah sebuah pusat Sindrom Down yang memberikan pendidikan kepada kanak-kanak istimewa sebagai persediaan awal sebelum memasuki alam persekolahan.

Sakinah berharap, program itu akan lebih kerap dijalankan pada masa akan datang kerana diyakini dapat membantu meningkatkan kemahiran kanak-kanak istimewa ini, selain memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa Sindrom Down adalah satu anugerah.

Berita Harian X