Isnin, 6 March 2017 | 1:58pm

LZS sasar kutipan zakat RM700j tahun 2017

DATUK Setia Mohamad Adzib Mohd Isa (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Hussin Mohd Ali menunjukkan pencapaian agihan dan kutipan zakat tahun 2016 di sidang media Pengumuman Prestasi Agihan dan Kutipan Zakat Negeri Selangor di Bangunan Zakat Selangor. Turut hadir Ketua Divisyen Perkhidmatan Korporat Lembaga Zakat Selangor Affandi Nasir (kanan). - Foto Roslin Mat Tahir.

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat RM700 juta pada tahun ini, untuk menampung agihan sebanyak RM670 juta.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, berkata pada tahun ini keutamaan bantuan akan diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf.

"LZS kini mengemaskini bantuan zakat mengikut keutamaan berdasarkan Maqasid Syariah iaitu bantuan diberikan mengikut keperluan.

"Pada tahun 2016, LZS sudah mengagihkan wang zakat kepada golongan yang layak sebanyak RM697.5 juta berbanding RM676 juta pada tahun sebelumnya dengan peningkatan 3.2 peratus, " katanya pada sidang media di Bangunan Zakat Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah RM98.2 juta agihan disalurkan kepada asnaf fakir; RM200.5 juta untuk asnaf miskin dan RM60.9 juta untuk mualaf.

"Jumlah berkenaan membabitkan 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan manakala 48.5 peratus lagi diagihkan kepada Amil (RM84.2 juta); Fisabilillah (RM150.2 juta); Gharimin (RM72.9 juta); Ibnu Sabil (RM0.2 juta) dan Riqab (RM30.4 juta)," katanya.

Mohamad Adzib berkata, seramai 13,522 keluarga asnaf fakir menerima manfaat bantuan zakat pada tahun 2016 manakala asnaf miskin pula seramai 32,978 keluarga.

Katanya, jumlah keseluruhan fakir dan miskin di Selangor juga turut meningkat sebanyak 2,207 keluarga kepada 46,500 berbanding 44,293 keluarga pada tahun 2015.

"Antara faktor utama pertambahan adalah kerana peningkatan kos sara hidup, penghijrahan warga negeri lain ke Selangor dan kehilangan pekerjaan akibat kebanyakan syarikat ingin menurunkan kos operasi," katanya.

Berita Harian X