Ahad, 26 Februari 2017 | 3:30pm

Penunggang maut diheret lori tangki

KETUA Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
KETUA Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

SEREMBAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya diheret sebuah lori tangki di Jalan Pantai-Seremban dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, Mohamad Nazrul Amiruddin, 23, dari Kampung Kemin Tanjung di Kuala Klawang, Jelebu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan dari Kuala Klawang ke sini.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu menggelongsor ke bawah lori tangki dari arah bertentangan.

"Pemandu lori tangki berusia 32 tahun itu membrek, tetapi mangsa yang berada di bawah kenderaan berat itu diheret," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zaldino berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk dibedah siasat.

Berita Harian X