Rabu, 22 Februari 2017 | 3:58pm

Latihan vokasional didik remaja Sindrom Down berdikari

 TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu penerapan latihan vokasional kepada remaja yang menghidapi masalah Sindrom Down mampu menyediakan mereka ke arah kehidupan lebih berdikari.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, program yang dikendalikan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM)yang ditubuhkan pada 22 Mac 2014 dapat memberikan bimbingan dan latihan kepada remaja Sindrom Down.

"Orang kelainan upaya (OKU) ini terdiri daripada pelbagai kategori dan umur, di samping itu keperluan mereka juga diambil kira secara spesifik dan penumpuan khusus agar dapat diterapkan dengan berkesan.

"Hal ini secara langsung bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti seharian dengan berdikari, sekali gus menjana pendapatan selepas mengikuti latihan serta kemahiran yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di PSDM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai langkah proaktif diambil dengan menggembleng tenaga bersama NGO, swasta dan ibu bapa bagi menjayakan usaha kepada golongan itu.

"Kita amat berharap ibu bapa tampil untuk mendaftar anak-anak mereka yang mengalami masalah Sindrom Down agar dapat diberikan latihan dan kemahiran khusus bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

"Sehingga kini, hanya 448 remaja Sindrom Down daripada keseluruhan 9,729 orang bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah berdaftar dengan KPWKM," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dilakukan melalui latihan vokasional, antaranya kemahiran hospitaliti, dobi, bercucuk tanam, seni dan kraftangan serta menjahit pakaian.

Pada majlis itu, kanak-kanak PSDM turut diceriakan dengan kehadiran Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan rondaan di sekitar Jalan U-Thant, di sini.

Berita Harian X