Rabu, 22 Februari 2017 | 3:30pm

Pemuda curi telefon bimbit dipenjara 3 bulan

TERTUDUH, Mohd Syahamir Ramzan dibawa anggota polis selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
TERTUDUH, Mohd Syahamir Ramzan dibawa anggota polis selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Seorang pemuda dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit pada November tahun lalu.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Syahamir Ramzan, 24, selepas pengakuan bersalahnya dirakam sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mencuri sebuah telefon bimbit jenama SCSL model DS650 berwarna merah di Jalan Pulau Gadong, Kampung Pokok Manggis, Klebang, Melaka pada November 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah meringankan hukuman kerana hidupnya miskin dan memohon hukuman penjara dikenakan dari tarikh ditangkap kerana tidak mampu untuk membayar denda.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan atas kesalahan yang dilakukan.

Berita Harian X