Rabu, 28 Disember 2016 | 1:19pm

3,534 murid masuk Tahun Satu di Putrajaya

MUHAMMAD Amirul Syafiq Abdul Halim, 7, ditenteramkan oleh ibunya (kiri) dan guru ketika Orientasi Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MUHAMMAD Amirul Syafiq Abdul Halim, 7, ditenteramkan oleh ibunya (kiri) dan guru ketika Orientasi Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Seramai 3,534 murid di Putrajaya akan memasuki Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2017 bermula 3 Januari ini.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar, berkata semua murid baharu berkenaan akan ditempatkan di 101 bilik darjah di 14 sekolah rendah di sekitar bandar ini.

PENGARAH Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGARAH Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Jumlah itu bertambah agak ketara berbanding 2,961 murid Tahun Satu pada tahun lalu. Daripada jumlah itu juga, seramai 31 murid istimewa akan memasuki kelas pendidikan khas di empat sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Pendaftaran dan Orientasi Tahun Satu dan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 16 (1), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Putrajaya Presint 16 (1), Noor Rokiah Mohd Yusof dan EXCO Pendidikan Parlimen Putrajaya, Zainudin Ariff Hasan.

Mengulas mengenai pengajaran dan pembelajaran (P&P), Roaini berkata, konsep P&P abad ke-21 (PA21) yang mula dilaksanakan sejak dua tahun lalu akan terus diberi penekanan dengan pembabitan aktif murid di dalam kelas.

"Berbanding cara sebelum ini, yang mana murid bergantung sepenuhnya kepada guru untuk belajar, PA21 akan membantu murid menguasai ilmu itu dengan guru berperanan sebagai fasilitator.

"Murid tidak lagi belajar untuk peperiksaan tetapi menguasai ilmu diperoleh, yang akan membantu mereka menjawab soalan peperiksaan kelak," katanya.

Berita Harian X