Khamis, 8 Disember 2016 | 11:18pm

KPDNKK rampas barang tiruan bernilai lebih RM100,000

SEBAHAGIAN barangan berjenama tiruan yang dirampas Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Plaza TAR, Kuala Lumpur, hari ini.
SEBAHAGIAN barangan berjenama tiruan yang dirampas Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Plaza TAR, Kuala Lumpur, hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu dua premis berasingan di Kuala Lumpur hari ini dan menyita barangan tiruan bernilai lebih RM100,000.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira 2.00 petang itu membabitkan 14 anggota penguat kuasa KPDNKK bersama wakil pemilik cap dagang hasil daripada risikan selama dua minggu.

"Dalam serbuan pertama di sebuah premis perniagaan di Plaza TAR, sebanyak 3,120 pasang kasut sukan yang disyaki menggunakan perihal dagangan palsu iaitu jenama Nike, New Balance dan Adidas , bernilai RM69,522 disita.

"Pegawai penguat kuasa juga menyerbu sebuah premis kediaman di Jalan Kuchai Lama dan menyita minuman keras sebanyak 754 botol bernilai RM44,230.

"Semua barangan terbabit dipercayai untuk diedar dan dipasarkan di sekitar Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu, atau penjara tidak lebih lima tahun, atau keduanya sekali," katanya.

Berita Harian X