MELAKA: Dua lelaki melecur selepas tong berisi minyak petrol dipercayai terbakar hingga mengakibatkan van dinaiki mereka rentung dalam kebakaran berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Seri Duyong, Bukit Katil di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai pemotong rumput berusia 30-an dan 50-an sebelum itu dipercayai mengisi dua tong penuh minyak petrol berharga RM20 di stesen minyak berkenaan.
Bagaimanapun, tong berisi minyak petrol itu dipercayai tiba-tiba terbakar, sebelum api marak hingga memusnahkan van jenis PERODUA Rusa serta tiga unit pemotong rumput di dalam van berkenaan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Shahruddin Abd Razak dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, berkata sepasukan tujuh anggota bersama satu jentera termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 9.20 pagi.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu berusia 50-an didapati melecur di bahagian tangan kiri, manakala penumpang berusia 30-an melecur di bahagian belakang badan.
"Kedua-dua mangsa dibawa orang awam ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa enam minit," katanya ketika dihubungi BH.