Ahad, 4 Disember 2016 | 12:30pm

Wakil antarabangsa PIIACUF 2016 dirai

PUTRAJAYA: Wakil antarabangsa yang menyertai Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2016 diraikan dalam Majlis Gala Makan Malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Persembahan tarian tradisional Malaysia membuka tirai sebaik majlis bermula, disusuli pertunjukan fesyen Islam beberapa negara termasuk Kuwait, Indonesia, Bangladesh, Uzbekistan dan Malaysia yang turut menampilkan pakaian Mak Yong dari Kelantan.

Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Tengku Aina Tengku Ismail Shah, berkata majlis berkenaan dihoskan PPj bagi menghargai penyertaan negara lain dalam festival berkenaan.

Bertemakan 'Keagungan Seni Tekstil Dunia Islam', PIIACUF 2016 yang memasuki edisi keempat tahun ini memaparkan keunikan dan keindahan kesenian tekstil dari negara Islam.

"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan PIIACUF 2016 yang akan berakhir 11 Disember ini. Masuk adalah percuma dan mereka tidak sepatutnya melepaskan peluang melihat kelainan yang ditampilkan tahun ini.

"Replika jubah Nabi Adam menjadi tarikan utama PIIACUF 2016, berukuran 29 meter labuh dan sembilan meter panjang.

"Ia disiapkan dalam tempoh 10 hari menggunakan 480 meter (m) kain dan 2,000 m benang.

"Pengunjung juga boleh menyaksikan pameran Journey of Nur yang menampilkan seni khat Islam dan ayat Asmaul Husna yang dihasilkan daripada perca kain pelbagai warna," katanya.

Berita Harian X