Selasa, 15 November 2016 | 2:59pm

Idris tempelak DAP Melaka

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, menempelak DAP negeri kerana menimbulkan isu kononnya pencemaran udara akan berlaku apabila kilang kaca Xinyi Glass mula beroperasi di Lipat Kajang, Jasin di sini, tidak lama lagi.

Katanya, dakwaan bahawa operasi kilang itu menggunakan arang batu turut dibidas kerana fakta dilemparkan tidak tepat, sekali gus membuktikan DAP membuat kenyataan dangkal dan mengelirukan orang ramai.

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

Idris yang kecewa dengan tuduhan melulu parti pembangkang itu, bagaimanapun meminta rakyat supaya tidak gusar dengan kewujudan kilang kaca terbabit kerana ia sama sekali tidak akan mencemarkan alam sekitar seperti didakwa DAP.

"Mereka (DAP) menimbulkan isu ini tanpa membuat penyelidikan dan kajian yang secara tidak langsung membuktikan mereka menolak usaha kerajaan negeri menarik pelabur untuk melabur di negeri ini.

"Ingin saya tegaskan, pengoperasian kilang kaca itu tidak menggunakan arang batu, sebaliknya menggunakan gas asli yang dijamin tidak mencemarkan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dakwaan kilang kaca berkenaan yang menggunakan arang batu dibangkitkan Ketua Pembangkang, Khoo Poay Tiong pada Sidang Dewan Undangan Negeri, bulan lalu.

Syarikat Xinyi Glass Group adalah pengeluar kaca solar terbesar dunia dan kaca apung ketiga terbesar dunia, mempunyai teknologi terbaharu yang boleh dikongsi dengan Malaysia.

Pelaburan itu adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai Negeri Teknologi Hijau.

Mengulas lanjut, Idris berkata, syarikat Xinyi mematuhi semua aspek teknikal yang disyaratkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), malah mendapat kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) pada 22 September tahun lalu.

Katanya, syarikat itu juga menggunakan sistem pemantau secara atas talian, terus dengan JAS.

"JAS juga boleh menjalankan pemantauan tanpa notis kepada syarikat berkenaan setiap bulan bagi memastikan ia sentiasa mematuhi syarat ditetapkan," katanya.

Berita Harian X