Khamis, 3 November 2016 | 4:02pm

Lelaki nafi ceroboh kediaman

AYER KEROH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menceroboh kediaman di Taman Merak Mas, Bukit Katil, Jun lalu.

Liong Chung Peng, 24, dari Puchong, Selangor membuat pengakuan itu sejurus jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh rumah milik Abdul Hafiz Ghauth, 35, di Taman Merak Mas, antara jam 5 petang, 25 Jun hingga jam 10.30 pagi, 27 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob menawarkan jaminan RM4,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan menanggung isteri dan seorang anak.

Selepas mendengar permohonan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 5 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X