Khamis, 20 Oktober 2016 | 3:46pm

Rumah terbakar, wang tunai RM20,000 hangus

KETUA Polis Ibu Pejabat Daerah Tampin, Supritenden Hamazah Ab. Razak. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
KETUA Polis Ibu Pejabat Daerah Tampin, Supritenden Hamazah Ab. Razak. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

TAMPIN: Wang tunai berjumlah RM20,000 yang dikeluarkan seorang peneroka bagi diagihkan kepada adik beradiknya, hangus dalam kebakaran rumah di FELDA Jelai 3, Gemas, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu menyebabkan rumah berusia 30 tahun milik Kamarudin Ali, 68, terbakar kira-kira 35 peratus di bahagian ruang tamu dan sebuah bilik.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata Kamarudin yang menyedari kebakaran bermula di bahagian dinding kayu di bahagian ruang tamu, kemudian meminta bantuan jiran untuk menelefon bomba.

Katanya, bomba yang tiba kira-kira jam 11.35 pagi, berjaya memadamkan kebakaran itu dalam tempoh 10 minit.

"Siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai daripada litar pintas pada pendawaian elektrik.

"Turut rosak adalah perabot selain wang tunai yang diletakkan di dalam sebuah bilik, berjumlah RM20,000 milik arwah ibu mangsa yang baru dikeluarkan dari Tabung Haji untuk diagihkan kepada adik beradik," katanya di sini, hari ini.

Hamazah berkata, ketika kejadian hanya mangsa dan isteri yang berada di rumah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Berita Harian X