Sabtu, 15 Oktober 2016 | 7:22pm

Melaka sasar RM48,000 pendapatan perkapita menjelang 2020

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron hadir pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2016 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-78 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron hadir pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2016 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-78 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Melaka meletak sasaran meningkatkan kadar pendapatan perkapita negeri, daripada RM39,853 pada 2015 kepada RM48,000 menjelang tahun 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sasaran itu membolehkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri tumbuh tujuh peratus berbanding 4.8 peratus ketika ini.

"Kita berbangga apabila pendapatan perkapita kali ini melebihi apa yang dicapai di peringkat nasional iaitu RM37,104.

"Ia memberi semangat kepada kita meningkatkan pencapaian daripada kedudukan keempat kepada yang pertama berbanding negeri lain," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2016 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-78 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Idris berkata, kerajaan negeri merangka pelbagai strategi untuk menarik pelaburan asing dan domestik ke arah mengukuhkan ekonomi negeri.

Antara lain, katanya, syarikat tenaga, EDRA Energy Sdn Bhd akan membina stesen jana kuasa dan talian penghantaran tenaga elektrik baharu di Telok Gong, Alor Gajah ke pencawang elektrik di Bahau, Negeri Sembilan bernilai RM4 bilion dan Xinyi Glass, China dengan aktiviti mengeksport produk kaca berkualiti tinggi, menerusi pelaburan berjumlah RM3.2 bilion.

Berita Harian X