Selasa, 11 Oktober 2016 | 10:11am

Polis tahan 2 lelaki, rampas heroin dan syabu

Dadah dan wang tunai yang dirampas daripada dua lelaki di Gemas, malam tadi.- Foto ihsan Polis
Dadah dan wang tunai yang dirampas daripada dua lelaki di Gemas, malam tadi.- Foto ihsan Polis

TAMPIN: Dua lelaki yang dipercayai baru mengedar dadah di sekitar Gemas dekat sini, ditangkap anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melalui Ops Tapis, malam tadi.

Suspek dikesan kira-kira jam 10.30 malam ketika berada dalam sebuah kereta di hadapan sebuah bank dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata anggota polis menghampiri kereta itu lalu mengarahkan pemandunya berusia 30 tahun keluar untuk pemeriksaan.

"Polis menemui wang tunai RM2,570 daripada pemandu kereta itu yang dipercayai hasil jualan dadah. Lelaki berusia 24 tahun di tempat duduk penumpang hadapan kereta turut ditahan.

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah," katanya di sini, hari ini.

Hamazah berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui 10 paket plastik lut sinar mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 18.13 gram dan lima paket dadah dipercayai syabu seberat 3 gram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X