Ahad, 2 Oktober 2016 | 5:34pm

10 pasangan nikah serentak sempena Maal Hijrah

SERAMAI 10 pasangan pengantin dinikahkan beramai-ramai sempena Sambutan Maal Hijrah dan Nikah Perdana 2016 di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SERAMAI 10 pasangan pengantin dinikahkan beramai-ramai sempena Sambutan Maal Hijrah dan Nikah Perdana 2016 di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

GOMBAK: Seramai 10 pasangan pengantin dinikahkan beramai-ramai sempena Sambutan Maal Hijrah dan Nikah Perdana 2016 di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, hari ini.

Semua pasangan pengantin yang berusia antara 20 hingga 28 tahun itu dinikahkan oleh lima jurunikah yang diketuai Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Zainal Abidin Sulaiman.

Bagi pengantin paling muda, Erit Emeer Zaini, 22, berkata dia dan pasangannya gembira diberi peluang turut sama pada majlis itu.

"Kami gembira, semuanya selamat serta berjalan lancar dan saya bersyukur kerana selamat dinikahkan dengan pasangan yang saya kenal sejak zaman persekolahan. Tarikh yang dipilih juga istimewa kerana ia jatuh pada awal Muharam sempena tahun baharu dalam kalendar Islam.

"Program ini cukup bagus sebab jimat belanja, saya hanya mengeluarkan RM1,000 tapi kita dapat pelamin, busana pengantin, pendaftaran nikah dan dan jamuan makan.

"Selain itu, ia menjadi pengalaman cukup berharga dapat kahwin serentak malah dapat mengurangkan rasa berdebar," katanya ketika ditemui di sini.

Pasangannya, Nur Kaisah Hatpari Harun, 20, berkata walaupun menerima banyak rintangan sebelum majlis berlangsung namun itu bukanlah penghalang untuk mereka berputus asa untuk membina rumah tangga pada usia muda.

"Berkahwin pada usia muda bukan mudah, pada mulanya keluarga tidak bersetuju kerana saya masih muda tapi kami cuba yakinkan mereka dan bersyukur akhirnya mendapat restu," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Nazir Masjid, Mohd Rozi Salleh, berkata program kali keenam itu, menjadi acara tahunan masjid dan menyaksikan seramai 54 pasangan diijabkabulkan beramai-ramai sejak ia dilaksanakan pada tahun 2012.

Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu bermula dengan ceramah perdana oleh penceramah dan selebriti dakwah, sesi khutbah nikah, sesi ijab kabul, solat sunat nikah dan sesi penyerahan mas kahwin, sesi hadiah pengantin, majlis makan beradab dan sesi fotografi.

Berita Harian X