Jumaat, 9 September 2016 | 5:31pm

KPDNKK Melaka rampas COA Microsoft palsu

KETUA Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Hamzah Mahadi (tengah) menunjukkan salinan label Sijil Ketulenan (COA) Microsoft palsu yang dirampas di Ibu Pejabat KPDNKK negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Hamzah Mahadi (tengah) menunjukkan salinan label Sijil Ketulenan (COA) Microsoft palsu yang dirampas di Ibu Pejabat KPDNKK negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas 94 keping salinan label Sijil Ketulenan (COA) Microsoft palsu bernilai RM75,200 dalam satu operasi, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Hamzah Mahadi, berkata dalam operasi kira-kira jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan selepas diperangkap oleh tiga pengadu yang membuat pembelian barangan secara dalam talian.

Beliau berkata, operasi itu adalah rentetan dua rampasan sama oleh KPDNKK di Petaling Jaya dan Gombak sebelum ini yang turut menggunakan modus operandi penjualan salinan COA palsu secara dalam talian.

"Sebaik pengadu menemui lelaki itu di sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh, sepasukan tujuh pegawai penguat kuasa KPDNKK menahan lelaki itu, sebelum merampas semua barangan tiruan miliknya.

"Lelaki itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNKK negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X