Khamis, 8 September 2016 | 4:35pm

72 pelajar pendidikan khas sertai kejohanan petanque

SABAK BERNAM: Seramai 72 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di daerah ini menyertai Kejohanan Petanque Pendidikan Khas Daerah Sabak Bernam 2016 di sini, hari ini.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pendidikan Khas), Rosli Jarai, berkata sebanyak 24 pasukan dari 11 PPKI sekolah rendah dan enam PPKI sekolah menengah mengambil bahagian dengan setiap pasukan diwakili tiga pemain.

"Selain memenuhi keperluan kokurikulum murid berkeperluan khas (MBK), kejohanan ini dapat meningkatkan kemahiran psikomotor dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap persekitaran dan masyarakat.

"PPD Sabak Bernam bercadang menjadikan kejohanan ini acara tahunan PPKI daerah ini," katanya.

Kejohanan yang diadakan di Arena Petanque PPD Sabak Bernam itu dirasmikan Timbalan Pegawai Pendidikan daerah, Ismail Sajat.

Sementara itu, Ismail yang menyokong penuh aktiviti berkenaan kerana ia membolehkan MBK berdikari, berharap program sedemikian dapat diteruskan.

Pada kejohanan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya muncul johan kategori campuran sekolah rendah. Kategori perempuan sekolah menengah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, manakala SMK Munshi Abdullah muncul juara kategori lelaki.

Berita Harian X