Isnin, 29 Ogos 2016 | 4:59pm

Syair, pertemuan penyair ASEAN tarikan utama DiverseCity

MOHD Khair (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Roslan, Siti Aisah, Mohamad Saleeh dan Pengarah Peneraju Seni Berbudaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ismail Ahmed menunjukkan replika Syair Alam Melayu Nusantara dan Pertemuan Penyair Asean 2016 selepas sidang media di DBP hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Syair Alam Melayu Nusantara dan Pertemuan Penyair ASEAN akan menjadi tarikan acara genre sastera pada Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (DiverseCity) 2016 yang akan berlangsung di ibu kota pada September ini.

Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata acara Syair Alam Melayu Nusantara membabitkan bengkel, seminar dan persembahan syair.

"Acara kemuncaknya ialah persembahan syair gabungan peserta ASEAN yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pada 22 dan 23 September ini.

"Sementara itu, Pertemuan Penyair ASEAN pula diadakan buat kali kedua bersempena DiverseCity 2016 berikutan sambutan diterima pada penganjuran kali pertama pada tahun lalu.

"Ia akan berlangsung di DBP pada 3 September ini yang terbahagi kepada dua, iaitu Forum Penyair ASEAN bermula jam 8 pagi dan Deklamasi Puisi ASEAN (8.30 malam)," katanya dalam sidang media penganjuran Syair Alam Melayu Nusantara dan Pertemuan Penyair ASEAN sempena DiverseCity 2016 di DBP di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, Siti Aisah Murad; Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan penggiat seni, Roslan Madun.

Berita Harian X