Sabtu, 13 Ogos 2016 | 10:12am
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

RM200j pasang lampu jalan cekap tenaga di Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri akan menukar 120,000 lampu jalan konvensional kepada lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) di seluruh Melaka menggunakan sistem lampu rangkaian digital.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata projek pemasangan lampu LED bernilai RM200 juta itu membabitkan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).

"Projek ini akan meningkatkan pencahayaan, kos tenaga lebih rendah, mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan mengukuhkan keselamatan rangkaian jalan raya di seluruh Melaka.

"Ia dibiayai sepenuhnya oleh ADB, sekali gus menyokong usaha Malaysia mencapai pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020," katanya selepas merasmikan Malam Anugerah Hijau Negeri Melaka 2016 anjuran PTHM, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, sembilan kategori dipertandingkan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan dan badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekolah rendah dan menengah serta universiti awam.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dinobatkan sebagai johan kategori PBT, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek pula johan bagi kategori sekolah menengah.

Idris berkata, kerja penukaran lampu itu dijangka mengambil masa kira-kira setahun setengah.

"Projek ini akan dilaksanakan di peringkat PBT dan akan diselaraskan oleh PTHM dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memastikan ia mencapai matlamat," katanya.

Berita Harian X