Isnin, 1 Ogos 2016 | 2:07pm

2 pelajar edar ganja di Sunway ditahan

SUBANG JAYA: Dua pelajar sekolah menengah adalah antara 16 individu ditahan, selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Bandar Sunway, di sini, minggu lalu.

Seorang daripada mereka berusia 16 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Narkotik, sekitar jam 4.40 petang di tepi jalan kawasan terbabit pada Selasa lalu, selepas polis merampas 251 gram ganja daripadanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata pihaknya percaya pelajar terbabit aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

"Pelajar ini ditahan ketika sedang menunggu pelanggan yang ingin mendapatkan bekalan ganja, manakala seorang lagi pelajar berusia 17 tahun ditahan dalam operasi susulan, tiga jam kemudian bersama 11 lagi individu lain di kondominium berhampiran.

"Hasil pemeriksaan dalam unit kondominium itu, polis menemui 444 gram ketulan ganja mampat disembunyikan dalam bilik air," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, pagi tadi.

Berita Harian X