Ahad, 17 Julai 2016 | 1:28pm

Suasana Aidilfitri meriahkan 'KL Car Free Morning'

NAIM (kanan) melepaskan peserta pada acara 'KL Car Free Morning' hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
NAIM (kanan) melepaskan peserta pada acara 'KL Car Free Morning' hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Suasana hari raya yang masih terasa terserlah pada acara 'KL Car Free Morning' hari ini apabila beberapa peserta memilih untuk menggayakan pakaian tradisional untuk menambah keceriaan program riadah bersama keluarga itu di ibu kota.

Kalangan peserta yang ditemui Bernama di Jalan Raja Laut di sini berpendapat di samping mengamalkan gaya hidup sihat, berpakaian tradisional turut dapat menunjukkan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat Malaysia kepada pelancong asing menerusi program berkenaan.

Penjawat awam, Mohd Azii Mat Desa, 40, memilih untuk mengenakan baju Melayu hijau untuk menyertai aktiviti berbasikal bersama-sama dengan dua orang anaknya dalam program ini kerana masih dalam suasana berhari raya.

"Setiap bulan mesti saya akan menyertai aktiviti berbasikal di 'KL Car Free Morning' bersama-sama anak, cuma kebetulan kali ini diadakan pada bulan Syawal jadi mahu mewujudkan suasana hari raya ketika bersukan," katanya kepada Bernama.

Pegawai pentadbir, Mohd Nazrul Jamil, 32, berkata suasana berpakaian tradisional sambil berbasikal beramai-ramai hanya boleh dilihat di kawasan kampung sahaja dan jarang kelihatan di kawasan bandar.

"Pada bulan Syawal ini, kami mahu mewujudkan suasana sedemikian di kawasan bandar kerana ia sangat harmoni dan rakan-rakan berbasikal yang lain turut ceria melihat kami berpakaian Melayu berwarna-warni sambil menyanyi lagu raya," katanya yang berbaju Melayu hitam.

Jururawat, Mohd Sofian Mat Ariffin, 26, berkata ini merupakan kali pertama beliau menyertai aktiviti berbasikal menerusi 'KL Car Free Morning' dengan berpakaian baju Melayu.

"Perasaan sangat istimewa dan gembira kerana ia bukan sahaja mewujudkan suasana Hari Raya malah secara tidak langsung kami menjadi 'model' mempromosikan pakaian tradisional masyarakat Melayu kepada umum khususnya pelancong asing," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana 'KL Car Free Morning' OCBC Bank, Datuk Naim Mohamad berkata selain menggalakkan gaya hidup sihat, acara bulanan itu diadakan bertujuan mengurangkan kadar pelepasan gas karbon dioksida di kota raya berkenaan.

"Ia sebagai platform untuk warga kota beriadah bersama keluarga pada hujung minggu dengan bersukan dan mengeluarkan peluh.

"Melalui program ini juga, warga kota juga digalakkan untuk berbasikal dan berjalan kaki dengan lebih kerap tanpa menggunakan kenderaan berasap," katanya.

Naim berkata meskipun masih dalam 'mood' hari raya, sambutan amat menggalakkan dengan lebih 3,000 warga kota menyertai program 'KL Car Free Morning'.

"Pada bulan lalu ketika bulan puasa, sambutan turut amat menggalakkan dan ia juga tidak menghalang mereka bersukan dan beriadah meskipun (peserta beragama Islam) perlu menjalankan ibadah puasa.

"Pada kali ini lebih meriah dan seronok apabila masyarakat pelbagai kaum menyertai program ini dan ada yang berpakaian Melayu dan batik bagi mewujudkan suasana raya," katanya.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan OCBC Bank meliputi tujuh jalan utama iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tun Perak.

Ia diadakan pada 7 pagi hingga 9 pagi pada Ahad pertama setiap bulan, bermula di hadapan bangunan DBKL di Jalan Raja Laut. - BERNAMA

Berita Harian X