Isnin, 11 Julai 2016 | 8:48am

Rumah terbalik Kuala Lumpur tarikan terbaru di ibu negara

Rumah Terbalik Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur.
Rumah Terbalik Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Sanggupkah anda menginap di dalam rumah yang mempunyai perabot dan hiasan yang dipasang secara terbalik?

Jika 'bingung' untuk membuat keputusan, mungkin pengalaman itu boleh dirasai di rumah terbalik pertama di ibu negara, Rumah Terbalik Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur yang mula dibuka kepada umum pada 8 Jun lalu.

Pengurus Pemasarannya, Datuk Anuar A Rahman, berkata seni bina rumah terbalik berkonsepkan 'cottage' iaitu rumah bersaiz sederhana dan mempunyai reka bentuk Inggeris itu merangkumi 80 peratus struktur besi dan selebihnya kayu.

"Dalam rumah ini terdapat ruang seperti dalam rumah sebenar iaitu bilik tidur, dapur, ruang tamu dan bilik mandi.

"Proses pembinaannya agak rumit memandangkan setiap inci rumah perlu dipasang dengan teliti kerana segala-galanya dalam keadaan terbalik seperti meja makan, katil dan hiasan dekorasi," katanya kepada BERNAMA.

Anuar berkata, rumah terbalik dua tingkat setinggi 6.096 meter dengan keluasan 185.806 meter persegi itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan ia adalah rumah terbalik tertinggi di Malaysia.

Katanya, setiap hari jumlah pengunjung mencecah lebih 400 orang meliputi warga tempatan dan pelancong asing.

"Pengunjung bebas mengambil video atau gambar di dalam rumah ini dan jika menggunakan teknik yang betul, imej atau video yang dihasilkan seolah-olah seseorang itu sedang berjalan di atas siling," katanya.

Beliau juga bercadang untuk membina taman bunga terbalik di sekitar rumah itu sebagai tarikan tambahan dan ia dijangka siap pada tahun ini.

"Saya berharap rumah dan taman terbalik ini akan menjadi tarikan baharu kepada warga kota yang mahu bersantai bersama keluarga mahupun rakan-rakan serta pelancong asing," katanya. -- BERNAMA

Berita Harian X