Ahad, 29 Mei 2016 | 3:01pm

Jebat Bikers jayakan konvoi misi amal

PESERTA konvoi bergambar bersama sebelum memulakan perjalanan ke enam buah negeri. - Foto Norizzah Baharudin
PESERTA konvoi bergambar bersama sebelum memulakan perjalanan ke enam buah negeri. - Foto Norizzah Baharudin

MELAKA: Seramai 30 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari kelab Jebatz Bikers, di sini, menjelajah ke enam negeri bagi menyampaikan sumbangan kepada rumah anak yatim dan pelajar sekolah pondok.

Penyelaras program, Solihuddin Ismail, berkata program 'Tour n Charity 2016' secara berkonvoi selama empat hari itu bergerak ke Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Johor sebelum tiba di Melaka, hari ini.

"Walaupun sasaran awal hanya untuk mengumpul RM5,000, kami menerima lebih RM6,000 untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

"Ini salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jebatz Bikers bagi mendekati masyarakat, selain menghulurkan dana kepada sekolah pondok dan rumah anak yatim," katanya ketika ditemui di Bukit Katil, hari ini.

Solihuddin berkata, sebahagian kutipan adalah hasil sumbangan tabung kebajikan perkhidmatan mencuci kereta dan kedai aksesori motosikal Hydrographic dan Bike Accessories yang diusahakan kelab itu di Bukit Katil.

"Kami mengenepikan lima peratus hasil keuntungan perniagaan untuk dimasukkan ke dalam tabung kebajikan bagi menjayakan program Jebatz Bikers. Melalui penganjuran program bermanfaat, kami cuba mengubah tanggapan buruk sesetengah pihak kepada kumpulan motosikal berkuasa tinggi," katanya.

Solihuddin berkata, selain program kebajikan, kelab itu turut mengadakan kuliah agama dinamakan Usrah Santai for Bikers (US4B) di Solok Duku, Masjid Tanah pada setiap Ahad bermula jam 1 tengah hari hingga 4 petang.

Berita Harian X