Isnin, 23 Mei 2016 | 6:14pm

Guna waktu solat Jumaat buang sampah haram

BANTING: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya mengesan taktik membuang dan melupus sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab pada waktu rehat ketika solat Jumaat di Bandar Saujana Putra, dekat sini.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, semua kenderaan yang digunakan membawa sampah terbabit turut dikenakan tindakan sita.

"Selain berjaya mengesan perbuatan tidak bermoral ini, MDKL juga berjaya menahan tiga pemandu lori yang membawa muatan sampah. Lori mereka disita selama satu bulan.

"MDKL memandang serius terhadap kesalahan membuang atau melupuskan sampah secara haram di tempat yang tidak sepatutnya kerana perkara ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan persekitaran tetapi menyumbang kepada masalah pembiakan aedes seterusnya mengancam nyawa masyarakat sekitar," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, berikutan itu, MDKL menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Sampah Haram peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membincangkan tindakan serta kerjasama antara jabatan dan agensi berkaitan dalam membendung masalah itu.

Katanya, MDKL turut berharap supaya orang awam lebih peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak aktiviti pelupusan atau pembakaran sampah secara haram di kawasan tempat tinggal mereka.

"MDKL berharap dengan ketegasan yang ditunjukkan dalam menangani kesalahan membabitkan sampah haram ini, ia akan menjadi pengajaran seterusnya membantu mengurangkan masalah sampah haram di daerah ini," katanya.

Berita Harian X