Ahad, 1 Mei 2016 | 6:14pm
SEBAHAGIAN daripada 11 pasangan pengantin memotong kek perkahwinan pada majlis Mahligai Mega di 1Plaza Kuala Selangor. - Foto Suzaini Sulaiman
SEBAHAGIAN daripada 11 pasangan pengantin memotong kek perkahwinan pada majlis Mahligai Mega di 1Plaza Kuala Selangor. - Foto Suzaini Sulaiman

11 pasangan pengantin dirai pada Majlis Mahligai Mega

11 pasangan pengantin dibawa menaiki tram menuju ke 1Plaza sebagai sebahagian dari aturcara program persandingan di majlis Mahligai Mega di 1Plaza Kuala Selangor. - Foto Suzaini Sulaiman
11 pasangan pengantin dibawa menaiki tram menuju ke 1Plaza sebagai sebahagian dari aturcara program persandingan di majlis Mahligai Mega di 1Plaza Kuala Selangor. - Foto Suzaini Sulaiman

KUALA SELANGOR: Cuti Hari Pekerja hari ini turut mengukir kenangan manis bagi 11 pasangan pengantin apabila mereka diraikan pada Majlis Mahligai Mega di 1Plaza Kuala Selangor di sini, hari ini.

Program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor itu bagi meraikan pasangan berkenaan serta mengeratkan hubungan sesama pengantin dan ahli keluarga.

Pegawai Tadbir Agama PAID Kuala Selangor, Abd Rahim Salleh berkata, majlis itu turut meraikan pasangan pengantin mualaf dalam suasana sederhana yang meriah.

"Sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 11 pasangan pengantin termasuk tujuh pasangan pengantin saudara baharu. Diharap majlis ini menjadi kenangan manis untuk mereka memulakan kehidupan berkeluarga.

"Aktiviti ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada pasangan kerana menjimatkan masa, tenaga dan kos perbelanjaan perkahwinan kerana dilaksanakan serentak, selari dengan tuntutan agama agar berjimat-cermat dan bersederhana dalam sesuatu perkara.

"Diharap perkahwinan ini akan mengeratkan ikatan kekeluargaan khususnya bagi pasangan mualaf kerana walaupun sudah memeluk Islam, hubungan antara ibu bapa dan adik beradik tidak terputus," katanya kepada pemberita.

Yang turut hadir, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd Yaacob Dato Ismail dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Nik Suhaila Nik Hussin.

Sementara itu, penyelaras majlis Mahligai Mega, Nurlatifah Said, berkata, promosi program itu dijalankan sejak awal tahun lagi melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp selain memasang poster di lokasi strategik.

Katanya, pasangan pengantin itu diraikan dalam majlis bersanding, memotong kek perkahwinan dan makan beradap dengan disaksikan jemputan dan ahli keluarga masing-masing.

Terdahulu, tiga pasangan pengantin melangsungkan majlis akad nikah di surau PAID Kuala Selangor sebelum semua pasangan pengantin diarak menaiki tram dengan diiringi konvoi bermotosikal sejauh kira-kira dua kilometer ke 1Plaza Kuala Selangor.

Berita Harian X