Ahad, 1 Mei 2016 | 11:14am

Program KL Pagi Bebas Kenderaan wadah warga kota beriadah

KUALA LUMPUR: Kepenatan setiap hari bekerja bukan satu halangan kepada warga kota untuk turun beriadah pada hujung minggu dalam Program 'KL Pagi Bebas Kenderaan' di sini, pagi ini.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama OCBC Bank ini bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi, membabitkan laluan sejauh tujuh kilometer bermula dari Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee.

Bagi memeriahkan program itu, OCBC menyediakan 100 basikal untuk orang ramai secara percuma.

Pesara bank, Mohd Aminuddin Mohd Diah, 71, berkata pelaksanaan program KL Pagi Bebas Kenderaan membolehkannya berbasikal bersama rakan di jalan raya utama di sekitar bandar raya ini pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

"Aktiviti KL Pagi Bebas Kenderaan adalah satu inisiatif DBKL bagi menggalakkan masyarakat kota melakukan aktiviti riadah untuk kesihatan.

"Namun, terdapat beberapa aspek perlu dititikberatkan seperti keselamatan kerana terdapat kanak-kanak yang turut terbabit dalam sukan berbasikal tetapi tidak memakai topi keselamatan dan ini berbahaya. 

"Jadi, DBKL mungkin boleh membahagikan laluan disediakan kepada beberapa bahagian bagi mengelak berlaku kemalangan. Contohnya, beri laluan khas kepada mereka yang ingin berjogging supaya tidak bercampur dengan kumpulan yang berbasikal," katanya kepada BH, di sini.

Sementara itu, pekerja swasta, Asfarina Sasha Mohd Hanif,33, berkata bagi memeriahkan lagi aktiviti ini, penajaan daripada pelbagai syarikat diperlukan bagi memberi impak untuk menarik pembabitan lebih ramai peserta dalam acara itu.

"Pada setiap minggu pertama dan ketiga, saya akan turun berbasikal bersama rakan kerana aktiviti ini sangat berfaedah untuk kesihatan.

"Bagaimanapun, kemeriahan ini perlu dipertingkatkan lagi dengan pembabitan penaja bagi menarik lebih ramai masyarakat hadir bersama pada setiap minggu," katanya.

Peniaga, Faizah Daud, 55, pula berkata sejak DBKL melaksanakan program ini tahun lalu, penyertaan masyarakat semakin bertambah.

"Mereka yang hadir bukan saja dalam kalangan warga kota Kuala Lumpur, malah saya sendiri dari Putrajaya hadir untuk berbasikal di sini," katanya.

Berita Harian X