Khamis, 25 Februari 2016 | 11:01am

Gadis bawah umur bekerja di pusat hiburan ditahan

TIMBALAN Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Nor'Aini Abd Wahab (dua dari kanan) mengetuai operasi Ops Bah ke-21 di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur. - Foto Ghazali Kori
TIMBALAN Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Nor'Aini Abd Wahab (dua dari kanan) mengetuai operasi Ops Bah ke-21 di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Seorang gadis bawah umur yang bekerja di sebuah pusat hiburan di sini, ditahan dalam serbuan operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) semalam.

Pemeriksaan pihak berkuasa mendapati gadis berusia 20 tahun itu tidak menepati syarat ditetapkan bagi mereka yang dibenar bekerja di pusat hiburan.

Mendakwa dibawa rakannya bekerja di premis terbabit, dia mengakui pendapatan lebih RM3,000 yang diperoleh sejak lima bulan lalu, jauh lebih lumayan berbanding gaji kurang daripada RM1,000 di tempat kerja lamanya.

Gadis itu ditemui selepas serbuan pihak berkuasa membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di tiga pusat hiburan di sekitar ibu negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Nor'Aini Abd Wahab, yang mengetuai operasi berkata Ops Bah ke-21 akan diteruskan sebagai bukti ketegasan membanteras kegiatan haram di ibu negara.

"Kerjasama dengan agensi penguatkuasaan akan diperkukuhkan dalam menjalankan operasi ini," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Berita Harian X